arena

Lampard senang sikap Jorginho

Oleh AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard memuji sikap profesionalisma Jorginho yang akan diletakkan semula di bahagian tengah menggantikan N'Golo Kante.

Kante mengalami kecederaan hamstring ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menumpaskan Watford Sabtu lalu, tatkala Lampard hanya menganggap ia masalah kecil selepas bintang Perancis itu dijangka terlepas dua perlawanan.

The Blues akan berdepan Crystal Palace awal pagi esok dan diikuti pertemuan dengan Sheffield United Sabtu ini.

Pemain antarabangsa Itali, Jorginho dijangka menggantikan Kante untuk mengemudi bahagian tengah Chelsea.

Sebelum ini pemain berusia 28 tahun itu sentiasa menjadi tonggak utama Lampard namun selepas aksi bersambung semula akibat Covid-19 dia masih belum diturunkan.

Lampard tidak mahu memberi sebab mengapa bekas pemain Napoli itu tidak diturunkan sebaliknya lebih senang dengan reaksi yang ditampilkan Jorginho.

"Jorginho sentiasa berlatih dengan gigih namun dia sentiasa bersikap profesional dan itulah yang saya harapkan.

"Ia sangat penting pemain bersikap berkenaan terutama dalam skuad yang sangat kompetitif seperti kami, mereka sentiasa menyokong rakan lain walaupun tidak disenaraikan dalam kesebelan utama. Dia mempunyai sikap seperti itu," kata Lampard.

Jika mereka berjaya mencatat kemenangan di Selhurst Park, Chelsea akan memintas Leicester untuk kedudukan tempat ketiga tatkala The Foxes akan turun padang selepas itu bertemu Arsenal di stadium lawan.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 8:26am
d