arena

Fikiran Vettel terganggu - Brawn

Oleh AFP

CHARLES Leclerc berjaya melakukan kejutan dengan meraih podium buat Ferrari dalam aksi Grand Prix (GP) Austria Ahad lalu namun rakan sepasukannya, Sebastian Vettel bergelut dengan masalah kosentrasi, jelas bekas bosnya, Ross Brawn.

Bos Ferrari, Mattia Binotto memberi peringatan, bahawa Scuderia dan peminat mereka tidak boleh mengharapkan sebarang peningkatan bagi perlumbaan ketiga di Budapest.

Brawn, yang berjaya membantu Michael Schumacher meraih lima kejuaraan dunia bersama Ferrari, dan sekarang menjawat Pengarah Urusan Formula Satu (F1) menyatakan bahawa juara empat kali, Vettel sedikit terganggu selepas diberitahu bahawa ini adalah tahun terakhir dia bersama pasukan itu.

"Ia satu permulaan sukar buat Sebastian dalam musim terakhir bersama pasukan, semuanya sedang bermain di fikirannya selepas mengetahui Ferrari tidak mahu lagi menggunakan khidmatnya musim depan.

"Kadangkala ada perkara yang menyebabkan seorang pelumba tidak dapat fokus. Sebastian sudah tentu terkejut dan tidak sangka apa yang berlaku sekali gus mengganggu tumpuannya," kata Brawn.

Vettel meraih petak ke-11 dan terbabit dalam kemalangan bersama Carlos Sainz dari McLaren, pemandu yang akan menggantikannya di Maranello tahun depan, sebelum meraih satu mata di kedudukan ke-10.

"Ia aksi yang sangat mengecewakan buat saya, walaupun kita tahu sebelum itu bahawa perlumbaan sangat sukar. Saya bergelut sepanjang perlumbaan selepas dua pusingan, sama seperti ketika ujian masa.

"Keseimbangan dan kepantasan yang saya lakukan ketika hari Jumaat tidak menjadi. Saya sangat bergelut untuk mengekalkan jentera berada di litar," kata Vettel.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 12:05pm
d