arena

ATP kaji semula ranking pemain

Oleh AFP

PERSATUAN Pemain Tenis Profesional (ATP) mengumumkan akan menyemak semula pengiraan sistem ranking dunia pemain lelaki selepas Covid-19 mengganggu perjalanan kalendar musim ini.

Berbanding sistem sedia ada berdasarkan 18 pemain terbaik selepas 52 minggu, semakan sementara akan melihat semula ranking berdasarkan tempoh 22 bulan bermula Mac 2019 hingga Disember 2020.

ATP berkata dalam satu kenyataan sistem akan dibuat untuk memberikan ketelusan kepada semua pemain di setiap peringkat selari dengan jumlah mata sedia ada selepas beberapa kejohanan dibatalkan.

Selain itu, ia juga harus dibuat untuk menawarkan kestabilan kepada pemain yang tidak dapat atau memilih untuk tidak mengambil bahagian tahun ini faktor kesihatan dan keselamatan.

ATP percaya sistem berkenaan dapat disesuaikan dengan sebarang perubahan kalendar jika ia perlu.

Ranking dunia kekal tidak berubah sejak 16 Mac lalu, sehari selepas Jelajah ATP menangguhkan saingan kerana pandemik Covid-19.

Pemain Britain, Andy Murray mencadangkan bulan lalu sistem ranking memerlukan pengubahsuaian bagi memastikan keadilan tatkala musim ini sedikit terganggu.

Selepas gusar bahawa ranking mungkin menjadi kelam-kabut, Murray mencadangakan agar melihat kembali kedudukan dalam tempoh dua tahun, jadi pemain yang beraksi cemerlang tahun lalu dan tidak dapat mempertahankan mata tidak perlu dikenakan hukuman.

Saingan dijangka bersambung kembali dengan Terbuka Amerika Syarikat dijangka bermula dari 31 Ogos hingga 13 September diikuti dua kejohanan elit Masters dan Terbuka Perancis yang dipinda jadual.

Murray berkata, penyandang juara sudah tentu berdepan masalah untuk memberi komitmen terhadap kejohanan yang banyak.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 12:43pm
d