arena

Fokus pulihkan prestasi

Oleh BERNAMA

ATLET kebangsaan dinasihatkan memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan kecederaan, selain berusaha mempertingkatkan prestasi masing-masing daripada memikirkan mengenai penyertaan mereka pada kejohanan luar negara.

Saranan itu disuarakan Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin yang melihat keperluan kepada atlet kebangsaan memperbaiki prestasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas yang menyaksikan mereka terpaksa menjalani latihan di rumah masing-masing.

"Hampir separuh daripada 229 pertandingan antarabangsa terpaksa dibatalkan pada tahun ini susulan penularan COVID-19, jadi seharusnya atlet negara menggunakan masa yang ada pada tahun ini untuk memperkukuhkan prestasi masing-masing kerana tahun ini adalah peluang terbaik mereka berbuat demikian sebelum menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun depan.

"Mereka sepatutnya fokus kepada latihan asas ketika ini, dan sekiranya mereka sudah benar-benar bersedia, barulah MSN boleh mempertimbangkan penyertaan mereka pada mana-mana kejohanan selepas ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Jefri memaklumkan atlet daripada beberapa sukan termasuk pelayaran, olahraga para dan badminton telah selesai menjalani ujian calitan Covid-19 dan mereka dibenarkan menjalani latihan seperti biasa, namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Beliau menjelaskan atlet dan pegawai sukan daripada 26 jenis sukan dijangka menjalani ujian calitan Covid-19 pada minggu ini sebelum mereka dibenarkan meneruskan latihan seperti biasa sekiranya keputusan ujian adalah negatif.

"Keputusan ujian calitan Covid-19 kebiasaannya dapat diketahui dalam tempoh dua hari dan atlet yang sah negatif dibenarkan menjalani latihan seperti biasa, namun mereka tertakluk kepada SOP yang ditetapkan pihak berwajib," jelas Jefri.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini memberi lampu hijau kepada atlet daripada beberapa sukan termasuk badminton dan pelayaran, selain atlet di bawah program 'Road to Tokyo' untuk meneruskan latihan selepas mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan termasuk melakukan ujian calitan Covid-19.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 7:05pm
d