arena

Jackie sertai latihan di MSN

Oleh Syazwan Msar

JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong sudah berada di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalani latihan selepas berehat panjang berikutan pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S M Muthu berkata, Jackie akan menyertai enam atlet lain menjalani latihan yang dikendalikan oleh MSN khusus untuk mereka.

Beliau berkata, Jackie yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 dijangka tidak berhadapan masalah untuk mengikuti latihan khas sebagai persediaan menghadapi kejohanan pada masa akan datang.

"Jackie sudah berada di MSN namun belum lagi menjalani latihan yang bermula pada 1 Julai lalu kerana perlu melalui beberapa proses saringan.

"Setakat ini, hanya enam atlet menjalani latihan di MSN manakala selebihnya akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat," katanya.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter yang dicatat pada Kejohanan KOM di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil, Ogos tahun lalu.

Dia menghidap jangkitan Covid-19 selepas hampir sebulan menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lalu.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 8:37pm
d