arena

Cheong Min gigih tingkat kemahiran

Oleh Syazwan Msar

ATLET wushu negara, Tan Cheong Min mahu fokus meningkatkan lagi kemahiran dengan matlamat mahu kekal konsisten sebagai persediaan menghadapi sebarang kejohanan pada masa akan datang.

Walaupun agak sedikit kecewa tiada sebarang kejohanan pada tahun ini namun Cheong Min tetap optimis ruang dan peluang yang ada perlu digunakan memberi tumpuan kepada latihan.

Dia yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena 2019 berkata, ketika ini dia menjalani latihan seperti biasa dan anugerah yang diterimanya itu menjadikan dia lebih bermotivasi untuk terus melakukan yang terbaik.

"Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk mulakan latihan selepas lama berehat berikutan Covid-19.

"Seperti sedia maklum, hampir semua kejohanan dibatalkan untuk tahun ini namun ia bukanlah alasan untuk saya tidak fokus kepada sesi latihan.

"Perkara penting sekarang ini adalah lebih fokus dan mempertingkatkan kemahiran bagi mengharungi kejohanan pada tahun depan," katanya.

Terdahulu, atlet kelahiran Cheng, Melaka itu sepatutnya menyertai Kejohanan Wushu Universiti Dunia di China pada Julai tahun ini.

Beliau kemudiannya dalam misi memburu pingat Kejohanan Asia wushu di India pada November sebelum ke Kejohanan Taolu World Cup di Jepun serta satu lagi kejohanan pada suku keempat tahun ini.

Namun, semua kejohanan terbabit dibatalkan akibat pandemik Covid-19 sekali gus terlepas peluang untuk Cheong Min meraih pingat.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 9:00pm
d