arena

Wark mahu bantu TFC julang trofi

Oleh Malik Muhamad

TONGGAK pertahanan Terengganu FC (TFC), Stuart Wark mengidamkan sekurang-kurangnya satu trofi bersama pasukan baharunya itu walaupun sedar bukan mudah untuk mencapainya ketika negara masih lagi berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Scotland itu menjelaskan pasukannya mempunyai peluang yang baik dalam Liga Super kerana masih berbaki lapan perlawanan lagi sebelum bertarung dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya rasa kami mempunyai peluang yang cerah dalam liga dan Piala Malaysia musim ini, walaupun kami berehat panjang baru-baru ini bagi mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, tapi kami mempunyai masa untuk membuat persiapan.

"Secara tidak langsung kami mampu untuk fokus kepada kemenangan dalam setiap perlawanan, saya rasa memenangi Piala Malaysia adalah lebih penting dan berharap kami dapat memberikan yang terbaik sekurang-kurangnya mara ke final dan seterusnya mengintai trofi kejuaraan kerana kami mempunyai kekuatan untuk sampai ke peringkat itu," ujar Wark.

Pemain berusia 31 tahun yang memulakan kariernya bersama kelab Lugar Boswell Thistle dalam Liga Scotland menandatangani kontrak setahun bersama skuad Penyu musim ini.

Pemain tinggi lampai itu sudah 'masak' dan mempunyai pengalaman yang luas beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah menyarung jersi pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Sabah, FELDA United, Pulau Pinang dan PDRM musim lalu.

Mengenai latihan dalam suasana normal baharu dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang begitu ketat, Wark akui terasa kelainan namun ianya memberikan pengalaman berharga buatnya.

Disiarkan pada: July 7, 2020 @ 9:43pm
d