arena

Atletico terlepas peluang

Oleh AFP

ATLETICO Madrid perlu menunggu lagi untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Celta Vigo awal pagi tadi.

Alvaro Morata menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama sebelum Franciso Beltran meledak jaringan penyamaan buat tuan rumah sebaik tamat waktu rehat.

Keputusan itu menyaksikan Atletico kurang empat mata untuk mengesahkan secara automatik layak beraksi di saingan tertinggi Eropah tatkala berbaki tiga perlawanan dan Celta pula tujuh mata di depan zon penyingkiran.

"Berkunjung ke sini memang sangat sukar buat kami, Celta memberikan aksi mantap, kedudukan mereka dalam liga tidak menggambarkan permainan sebenar mereka.

"Kami sekarang bersedia untuk menamatkan objektif menduduki tempat ketiga. Apa yang harus kami lakukan cuba mempercepatkan agar objektif kami tercapai," kata Morata.

Kemenangan mampu mengesahkan Atletico untuk kedudukan empat terbaik minggu ini jika keputusan lain turut memihak kepada mereka.

Morata membukan jaringan selepas 55 saat perlawanan bermula dan ia adalah jaringan ketiga selepas dua perlawanan.

Bekas penyerang Juventus itu menyempurnakan hantaran lintang Angel Correa untuk permulaan baik buat pasukan pelawat.

Bagaimanapun, Celta berjaya menyamakan kedudukan lima minit selepas perlawanan bersambung di separuh masa kedua apabila Beltran melakukan sepakan lambung sebaik menerima hantaran Brais Mendez.

Sebelum itu pemain remaja Korea Selatan Lee Kang In menjaringkan gol kemenangan Valencia ketika aksi berbaki dua minit bagi membolehkan kelabnya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Real Valladolid.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 9:57am
d