arena

Timbalan Menteri yakin kemampuan adik

Oleh Syazwan Msarmohd

PEMAIN muda yang beraksi di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal mempunyai karakter seperti individu luar negara sekali gus mampu menambah 'sengat' Skuad Bawah 19 dalam mengharungi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal berkata, menerusi perjumpaannya bersama Pengurus skuad B-19 Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar memaklumkan Wan Kuzri begitu matang dan profesional seterusnya sudah bersedia menjalani latihan bersama skuad terbabit.

Beliau yang juga abang kepada Wan Kuzri berkata adiknya itu akan dikuarantinkan untuk tempoh dua minggu sebaik tiba ke tanahair baru-baru ini.

"Secara peribadi saya tidak berjumpa dengan dia lagi dan hanya menonton aksinya menerusi rakaman video saja.

"Sudah tentu mengharapkan Wan Kuzri dapat menyesuaikan diri bersama pasukan dan membantu meraih kejayaan nanti.

"Jurulatih B-19 Brad Maloney turut tidak sabar mahu melihat aksi Wan Kuzri namun pada masa sekarang dia perlu dikuarantinkan sebagai antara standard operasi prosedur (SOP) yang perlu dipatuhi," katanya, ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan skuad B-19 kebangsaan boleh dikatakan tampil lebih lengkap dengan kehadiran dua pemain berpengalaman beraksi di akademi luar negara bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 pada Oktober ini.

Berdasarkan senarai nama yang diumumkan FAM, dua pemain berkenaan adalah pelatih Akademi Bolasepak BISP Cruizero Muhammad Adam Nadzmi Zamri.

Manakala seorang lagi, Wan Kuzri yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat.

Dua pemain berkenaan akan menyertai 33 pemain lain akan menyertai kem latihan pertama yang bermula Isnin lalu.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 2:55pm
d