arena

Terima kasih Azmeer - KFA

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan persetujuan secara bersama sudah pun dicapai berhubung penamatan kontrak antara persatuan dan pemain pertahanan, Azmeer Yusof.

"Satu persetujuan penamatan kontrak secara bersama di antara KFA dan Azmeer sudah dicapai atas permintaan beliau sendiri.

"Seluruh warga KFA mengucapkan terima kasih kepada pemain pertahanan jersi 25, Azmeer Yusof di atas segala jasa dan keringat beliau sepanjang berbakti bersama skuad Hijau Kuning.

"Sepanjang bersama Kedah sejak musim lalu, dia membantu Kedah merangkul kejuaraan Piala FA 2019 dan finalis Piala Malaysia 2019 selain menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-4.

"Terima kasih Azmeer, Biar Jasa Jadi Kenangan," kata kenyataan itu.

Sementara itu Azmeer Yusof ketika dihubungi juga menyatakan ucapan terima kasihnya kepada kepimpinan KFA yang memberi peluang dan sokongan buat dirinya sepanjang khidmat bersama skuad Lang Merah sehingga mencapai banyak kejayaan dalam kariernya.

"Terima Kasih KFA, segala kenangan manis menjadi semangat buat saya dan semoga pasukan Kedah terus berjaya menempa nama serta melakar kejayaan di saingan Liga Bolasepak Malaysia pada masa akan datang.

"Kepada penyokong Kedah, teruskan menyokong sahabat saya dalam pasukan dan sentiasa mendoakan kejayaan mereka dalam setiap perlawananan yang akan dihadapi nanti. Pulun Kedah Pulun," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 4:14pm
d