arena

Jangan tangguh daftar ahli Yakeb

Oleh Syazwan Msar

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sudah merekodkan 3,000 atlet berdaftar sekali gus memudahkan badan itu memantau seterusnya menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mereka yang memerlukan.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya sentiasa memastikan ahli mendapatkan bantuan sewajarnya termasuk memberikan khidmat nasihat berkaitan kerjaya selepas masing-masing bersara.

Beliau berkata, setiap atlet disarankan berdaftar dengan Yakeb termasuk pemain bola sepak dan data yang diperoleh itu memudahkan untuk mengkhususkan bantuan pada masa akan datang.

"Kita membantu semua atlet terutama yang dilaporkan uzur dan untuk itu mereka disarankan berdaftar dengan Yakeb dan tidak menangguh perkara berkenaan hingga berlaku masalah di kemudian hari.

"Setakat ini, hampir 3,000 berdaftar dengan Yakeb dan kita mempergiatkan lagi usaha supaya mereka berbuat demikian dengan kadar segera," katanya ketika ditemui, di sini.

Untuk rekod, Yakeb antara pertubuhan yang bergiat aktif menghulurkan sumbangan kepada bekas atlet yang kurang bernasib baik atau uzur.

Bantuan disalurkan seperti wang tunai atau inisiatif khidmat nasihat supaya bekas atlet mampu mendapatkan pekerjaan selepas tidak lagi bergiat aktif dalam bidang sukan masing-masing.

Selain itu, Yakeb juga menganjurkan program Inisiatif Pendidikan Berterusan YAKEB dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan yang menyediakan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 5:36pm
d