arena

Irfan ada komitmen di Eropah

Oleh Syazwan Msar

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamshuddin tidak hadir menyertai latihan kem olahraga yang bermula Ahad lalu berikutan menyertai kejohanan di Eropah bulan ini.

Presiden KOM Datuk S M Muthu berkata, Irfan akan menyertai sebuah kelab iaitu TJ Dukla Praha yang berpengkalan di Eropah sekali gus tidak dapat mendaftarkan diri bersama atlet lain.

Beliau berkata, Irfan yang mempunyai kontrak bersama kelab terbabit sejak awal tahun ini sudah memaklumkan perkara terbabit kepada KOM untuk tindakan lanjut termasuk memberi pelepasan kepadanya.

"Irfan sepatutnya menyertai lima atlet lain untuk memulakan sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas tiga bulan berehat akibat pandemik Covid-19.

"Manakala atlet lain tidak berdepan sebarang kekangan dan mereka akan mulakan latihan sebaik sahaja mendapat kebenaran dengan fokus untuk kembalikan prestasi masing-masing selepas lama berehat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Antara atlet yang sudah mendaftarkan diri adalah jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei, Andre Anura (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) serta Mohd Haiqal Hanafi (100 meter).

Selain itu, atlet lontar peluru Jackie Wong pula akan menyertai mereka dalam masa terdekat ini selepas mendapat kebenaran oleh pihak berwajib.

Disiarkan pada: July 8, 2020 @ 8:35pm
d