arena

Barca singkirkan Espanyol, beri tekanan kepada Real

Oleh AFP

BARCELONA menghidupkan peluang untuk memburu gelaran liga dan menyingkirkan Espanyol dari saingan La Liga selepas Luis Suarez menyumbangkan gol kemenangan dalam aksi seteru Catalan pagi tadi.

Bagaimanapun, aksi antara kedua-dua pasukan dicemari insiden panas selepas enam minit perlawanan separuh masa kedua bersambung dengan Ansu Fati dan Pol Lozano diperintah keluar padang, menyebakan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain sebelum Surez meledak gol tunggal.

Suarez membuktikan bahawa dia masih lagi mampu memberi sumbangan kepada Barca apabila hantaran Antoine Griezmann dirembat Lionel Messi namun pemain kelahiran Uruguay itu mengutip lantunan rembatan itu untuk gol kemenangan.

Kemenangan 1-0 adalah sangat berbeza berbanding ketika mereka menumpaskan Villarreal Ahad lalu namun ia sudah cukup untuk mereka merapatkan jurang satu mata dengan Real Madrid, tatkala pendahulu liga itu bakal berdepan Alaves Sabtu ini.

Espanyol yang berada di tangga terbawah liga, tersingkir dari saingan La Liga musim depan selepas mereka kekurangan 11 mata dari zon selamat dan hanya berbaki tiga perlawanan.

"Kami perlu menang tiga perlawanan berikutnya. Apa yang akan berlaku kepada Madrid, terpulang pada mereka. Jika mereka kehilangan mata, ia menakjubkan. Kami hanya perlu berada di sana jika mereka melakukannya," kata Suarez.

Espanyol memerlukan kemenangan namun mereka belum pernah menumpaskan Barcelona dalam saingan liga sejak 2009 sejak Mauricio Pochettino menjadi pengurus.

Penyokong kelab berkenaan meluahkan rasa marah selepas musim yang sangat memalukan di bawah pemilikan Kumpulan Rastar dari China sejak 2016.

"Kami ingin meminta maaf kepada penyokong. Kami tahu sekarang ini adalah saat yang sukar begitu juga kepada penyokong kami. Musim ini semuanya serba tidak kena. Ia adalah salah kami dan akan kembali bangkit lebih hebat selepas ini," kata Javi Lopez.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 1:20pm
d