arena

'Khalid, sayang lepas Kasut Emas'

Oleh Malik Muhamad

PEMENANG Kasut Emas Liga Malaysia (Liga M) 2011, Abdul Hadi Yahya mengakui simpati dengan nasib bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus yang terpaksa melepaskan barang berharga trofi Kasut Emas demi meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun dalam masa sama bekas penyerang kebangsaan berusia 35 tahun itu yang meledak 20 gol ketika menyarung jersi Terengganu sembilan tahun lalu menjelaskan tindakan yang diambil Khalid itu sukar diluahkan dengan kata-kata kerana barang itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

"Saya bersimpati dengan ujian hidup yang dilalui bekas penyerang kebangsaan itu yang terpaksa melelong barang bersejarah walaupun sedar sukar untuk membuat keputusan itu, namun demi kelangsungan hidup ia terpaksa dilakukan apatah lagi kehidupan seseorang pastinya berbeza.

"Namun bagi saya pemain itu perlu memikirkan semula hasratnya itu kerana anugerah berkenaan bukannya semua pemain yang dapat lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan pemain lain serta perlu berkorban untuk memperolehinya.

"Pencapaian yang diperolehi pemain itu juga adalah antara anugerah tertinggi dalam karier bola sepak seseorang pemain sebagaimana saya perolehi, ia boleh dikenang dan dilihat anak cucu selain boleh menjadi pembakar semangat kepada permata baharu.

"Secara peribadi mungkin Persatuan Bolasepak Perak ataupun Persatuan Bolasepak Malaysia boleh membantu pemain itu yang banyak berjasa kepada negeri dan juga negara ketika era kegemilanganya kerana bagi saya pemain itu begitu terdesak sehingga sanggup berbuat demikian," katanya.

Hadi yang juga pernah menyarung jersi T-Team, Selangor, Perak, PKNS, Marcerra United dan terakhir Selangor United musim lalu sebelum menggantung but musim ini berkata, jika pemain itu mempunyai lebih daripada satu Kasut Emas, tindakan melelong barang bersejarah itu tidaklah begitu dirasai sangat kerana masih ada yang lain.

"Tapi jika hanya ada satu saja trofi, bagi saya begitu sayang jika dijual lebih-lebih lagi barangan bersejarah itu tidak ada dijual di mana-mana kedai," katanya yang tidak sanggup menjual trofi yang dimenanginya itu kerana ia kenangan hingga akhir hayat.

Semalam pertemuan Khalid dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Putrajaya dilaporkan beroleh keputusan positif.

Namun pemain berusia 43 tahun menegaskan tetap mahu melepaskan trofi berkenaan dan ketika ini masih lagi menanti tawaran terbaik sehingga hujung minggu ini.

Disiarkan pada: July 9, 2020 @ 6:08pm
d