arena

Nashville pula tarik diri

Oleh AFP

NASHVILLE menjadi pasukan kedua menarik diri beraksi di Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) sebaik kejohanan itu disambung semula selepas empat lagi pemain mereka diuji positif Covid-19.

MLS dalam satu kenyataan berkata, pasukan berkenaan menarik diri dari kejohanan 'MLS is Back' di Orlando, Florida selepas kes Covid-19 menyebabkan mereka tidak boleh berlatih.

Keseluruhan sembilan pemain Nashville diuji positif Covid-19 sejak tiba di Orlando untuk kejohanan itu.

Isnin lalu, FC Dallas menarik diri dari kejohanan membabitkan 26 pasukan selepas 11 anggota skuadnya diuji positif virus berkenaan.

"Kami sudah mengetepikan Nashville SC dari MLS. Ia disebabkan beberapa kes positif, kelab berkenaan tidak boleh berlatih sejak tiba di Orlando dan tidak boleh beraksi.

"Apa saja keputusan yang kami buat semuanya adalah kepentingan pemain, staf, pegawai pertandingan dan mereka yang terbabit dengan kejohanan ini," kata Komisioner MLS, Don Garber.

Nashville mengeluarkan kenyataan berkata, seorang pemain mereka diuji positif sebaik pasukan berkenaan tiba di hotel di Florida, manakala lapan lagi disahkan menghidap virus itu beberapa hari kemudian.

"Fokus kami sekarang ini adalah untuk memastikan pemain sembuh selepas dijangkiti Covid-19 dan pulang dengan selamat," kata Ketua Eksekutif Nashville, Ian Ayre.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 10:27am
d