arena

Lega.. bagaikan mati hidup semula

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN Terengganu FC (TFC), Muhamad Hafizal Alias dan pemain Terengganu FC II (TFC II), Dhiyaulrahman Mohd Hasry akui gembira dan lega mengenai perkembangan terbaru Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bersambung semula pada 15 Ogos ini.

Pemain pertahanan itu menyifatkan liga berkenaan bagaikan mati hidup semula sekali gus menyaksikan hasrat mereka untuk kembali bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana musim ini kembali bersinar selepas liga ditangguhkan bermula 16 Mac lalu bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Hafizal berkata, perkembangan itu adalah perkhabaran positif bagi semua pemain kerana masa yang ditunggu-tunggu hampir tiba walaupun perlu menanti sebulan setengah lagi untuk beraksi semula dalam saingan liga.

"Ianya bagaikan mati hidup semula dan perkhabaran ini begitu positif buat kami yang tidak sabar lagi untuk beraksi biarpun tanpa penonton selepas sebelum ini harapan itu tampak hampir berkubur memandangkan negara masih lagi berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

"Sejujurnya saya lega dengan perkembangan terbaharu ini malah lebih menggembirakan kami apabila semua pemain TFC sudah dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan selain tahap kecergasan kami sekarang dalam 90 peratus selepas lebih tiga bulan menjalani latihan sendiri di rumah.

"Insya Allah dalam seminggu lagi tahap kecergasan kami bakal mencapai 100 peratus dan kami sudah bersedia untuk kembali mewarnai semula pentas Liga Super dan semestinya saya mahu kemenangan dalam aksi pertama nanti untuk mengintai tiga kelompok teratas liga," ujar Hafizal yang juga bekas pemain Harimau Muda A.

Bagi Dhiyaulrahman pula, dia juga lega dan positif kerana Liga Perdana adalah satu-satunya trofi yang menjadi impian skuadnya yang berstatus pasukan 'feeder' selepas Piala Cabaran dibatalkan musim ini.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 6:01pm
d