arena

MAM sokong penganjuran sukan permotoran

Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengalu-alukan penganjur sukan permotoran untuk menghantar peraturan serta perancangan kejohanan secepat mungkin.

Ia susulan daripada pengumuman kerajaan membenarkan penganjuran perlumbaan tempatan untuk dibuka semula membabitkan aktiviti permotoran bermula 15 Julai ini.

MAM dalam satu kenyataan memaklumkan, badan induk itu akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur di laman web rasmi mereka dalam masa terdekat ini.

"Perjuangan untuk menentang Covid-19 belum berakhir. MAM berharap semua pihak yang terbabit dalam penganjuran perlumbaan boleh mengikuti garis panduan yang ditetap oleh Kementerian Kesihatan.

"Kami akan menyenaraikan garis panduan dan ia akan bergantung kepada saiz dan permukaan litar," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, Safe Aim Mutual Sdn Bhd sudah bersedia menganjurkan perlumbaan musim 2020 mengikuti normal baharu.

"Penggunaan teknologi digital akan dimaksimumkan untuk memastikan penjarakan sosial tetap dipatuhi.

"Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan korporat di atas kesabaran dan pemahaman mereka terhadap situasi yang tidak dijangka ini.

Disiarkan pada: July 10, 2020 @ 6:54pm
d