arena

MHC sudah ada bayangan siapa jurulatih hoki

Oleh Aida Adilah Mat

BELUM ada sebarang keputusan rasmi dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung calon yang akan mengalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan.

Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala ketika dihubungi bagaimanapun menjelaskan mereka kini sudah mendapat bayangan calon yang sesuai untuk tugas itu selepas tamatnya mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan, hari ini.

Untuk menjelaskan situasi terkini berhubung kekosongan yang ditinggalkan oleh Dharma Raj Abdullah satu sidang media akan dilangsungkan Isnin ini bagi memaklumkan proses seterusnya yang akan diambil oleh MHC.

Kata Shamala, seramai 11 jurulatih antarabangsa sudah ditemuduga pada Khamis dan Jumaat lalu yang mana seorang calon menarik diri.

Manakala sesi temuduga membabitkan 10 calon tempatan dengan seorang calon menarik diri sudah selesai dilaksanakan pada 16 Mac lalu.

"Masih belum ada kata putus tapi MHC sudah mendapat bayangan siapakah calon akan dipilih.

"Namun ia bukan satu keputusan mudah dan ia harus dibincang dengan lebih teliti sebelum sebarang keputusan dicapai," katanya.

Begitupun, Shamala menegaskan kekosongan itu mungkin akan terjawab dalam tempoh kurang daripada sebulan.

MHC sebelum ini mengiklankan jawatan ketua jurulatih skuad hoki wanita sebelum permohonan ditutup, Februari lalu.

Badan induk itu menerima 23 permohonan bagi mengisi jawatan berkenaan membabitkan jurulatih tempatan dan luar negara.

Tugas itu sebelum ini disandang Dharma sebelum membuat keputusan untuk tidak memohon semula tugas itu.

Sepanjang empat tahun membimbing pasukan sejak hujung tahun 2015, Dharma menjadi watak penting kepada kegemilangan skuad wanita.

Antara paling diingati membantu skuad wanita meraih tempat kedua di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2017 di Kuala Lumpur sekali gus layak kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kempen kelayakan ke Piala Dunia.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 6:15pm
d