arena

Klopp kecewa aksi Reds

Oleh AFP

JURGEN Klopp kecewa dengan kekurangan naluri pemusnah anak buahnya selepas Burnley muncul pasukan pelawat pertama berjaya mengelak daripada kekalahan di Anfield pada saingan Liga Perdana selepas 18 bulan apabila mencatat keputusan seri 1-1, hari ini.

Gol jaringan Andy Robertson pada separuh masa pertama meletakkan Liverpool berada di landasan tepat untuk mengekalkan rekod di halaman sendiri dan menghampiri rekod memecahkan mata terkumpul keseluruhan.

Bagaimanapun Reds dikejutkan jaringan penyamaan Jay Rodriguez yang menyaksikan Burnley pulang dengan satu mata dan berpeluang menempah tiket ke Liga Europa musim depan.

"Kami membuka pintu kepada lawan dan tidak menutupnya. Kami sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya dua, tiga atau empat gol," kata Klopp yang turut kecewa dengan pengadil perlawanan, David Coote.

"Pengadil membenarkan kekasaran berlaku. Apabila bola berada di dalam kotak penalti, Burnley sentiasa berbahaya.

"Mereka kekal fokus dan melakukan apa yang dimahukan. Ia amat mengecewakan kerana kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol di awal perlawanan," katanya.

Liverpool masih berpeluang memecahkan rekod 100 mata yang dilakar Manchester City dua tahun lalu tetapi kini perlu memenangi baki tiga perlawanan terakhir liga menentang Arsenal, Chelsea dan Newcastle.

Klopp sudah menegaskan beliau tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod tetapi tampak jelas pengendali dari Jerman itu kekal menuntut aksi terbaik selepas membantu kelab meraih gelaran liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

Robertson dan Sadio Mane berada dalam kesebalasan utama semula berbanding ketika mencatat kemenangan 3-1 ke atas Brighton, Rabu lalu dengan hanya Jordan Henderson dan Trent Alexander-Arnold sahaja tersenarai.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 8:23am
d