arena

Ronaldo penyelamat Juventus

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo menyempurnakan dua sepakan penalti ketika Juventus mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Atalanta sekali gus menghampiri kejuaraan Serie A buat kali kesembilan berturut-turut.

Kekalahan 1-2 Lazio kepada Sassuolo pada perlawanan terdahulu, membuka peluang buat Atalanta merampas kedudukan kedua liga namun ia tidak berlaku.

Juventus di bawah bimbingan Maurizio Sarri kini mempunyai kelebihan lapan mata di tangga teratas ketika berbaki enam perlawanan dengan Ronaldo sudah meledak 28 gol musim ini.

"Kami tidak boleh membuat perkiraan lagi, kami juga tidak boleh menyatakan tinggal selangkah untuk muncul juara sehinggalah secara matematik kami disahkan juara," kata kapten Juventus, Leonardo Bonucci.

Ia adalah keputusan mengecewakan untuk Atalanta yang kekal di tangga ketiga dan ketinggalan sembilan mata di belakang Juventus selepas menghadiahkan dua sepakan penalti kepada lawan kerana bola terkena tangan pemain mereka.

"Apa yang boleh kami lakukan lagi. Ia adalah peraturan dan kami harus mengikutinya," kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.

Atalanta di depan pada minit ke-16 menerusi rembatan jarak jauh Duvan Zapata tetapi Ronaldo menyamakan kedudukan minit ke-55 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Marten de Roon.

Ruslan Malinovskiy kembali meletakkan Atalanta di depan minit ke-81 namun Ronaldo muncul penyelamat Juventus apabila sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti minit ke-90 selepas bola terkena tangan Luis Muriel.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 10:07am
d