arena

Wang kemenangan LTdL sudah dilunaskan

Oleh Aida Adilah Mat

PENGANJUR jelajah berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage mengesahkan pembayaran wang kemenangan kepada pemenang membabitkan pelumba dan pasukan sudah diselesaikan.

Wang kemenangan keseluruhan RM823,450 dibayar kepada pasukan dan pelumba yang terbabit pada edisi tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A Hamid menjelaskan transaksi pembayaran kepada pasukan dan pelumba dibuat pada awal bulan ini.

Proses pembayaran dibuat melalui Cycling Prize Management System (UCPMS) Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Katanya, pembayaran akhir sepatutnya dilakukan menerusi system UCI dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan namun tertunda susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia.

Tambah Shahaizereen, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk berbasikal Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah dimaklumkan berhubung pembayaran yang yang dilakukan.

Isu kelewatan pembayaran disebabkan kekangan yang terpaksa dihadapi ketika PKP diselesaikan selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini.

"Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih terutama kepada menteri (Reezal) atas keprihatinan yang diberikan sekaligus membantu kami menyelesaikan isu ini.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang memahami, bersabar dan memberikan kerjasama yang baik berhubung perkara ini," kata Shahaizereen.

Beliau juga memaklumkan Human Voyage bersedia untuk menganjurkan perlumbaan edisi ke-26 meskipun terdapat ketidakpastian susulan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan bagi acara sukan antarabangsa.

"Walaupun keadaan semasa yang tidak menentu ketika ini, kami tetap komited untuk menganjurkan perlumbaan pada 2021 tetapi semuanya bergantung pada arahan kerajaan dan SOP," katanya lagi.

Perlumbaan edisi ke-25 tahun ini adalah berstatus Pro Series dibawah peraturan baru oleh UCI yang menyaksikan pasukan tempatan Sapura Cycling Team dinobat sebagai juara keseluruhan.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 12:48pm
d