arena

KFA bekerja keras atasi isu kewangan

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mahu bekerja keras bagi memastikan segala isu tunggakan membabitkan gaji dan kewangan pasukan yang sedang dihadapi ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera.

KFA akan mengadakan satu Mesyuarat Eksekutif bagi membentangkan masalah semasa serta pelan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi dan mesyuarat berkenaan dijangka akan diadakan pada minggu depan.

Menurut Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor, pihaknya kini menghadapi banyak cabaran bukan saja mengenai ekonomi tetapi juga perlu menggalas cabaran mengikut normal baharu dalam industri sukan yang perlu dipatuhi dan laksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita akan cuba menyelesaikan segala masalah yang membelenggu persatuan ini sejak sekian lama terutamanya berkaitan kewangan.

"InsyaAllah semua pihak terutama Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA yang ada ini akan bekerja keras untuk mengatasi semua cabaran yang akan datang.

"Saya ingin ucap terima kasih kepada penaja-penaja yang memberi sokongan kepada pihak KFA selama ini dan saya amat berharap bahawa syarikat-syarikat ini tidak berputus asa untuk terus memberi sokongan kepada pasukan Kedah.

"Saya juga berharap lebih banyak lagi syarikat, orang perseorangan yang mencintai sukan bola sepak Kedah untuk tampil menghulurkan sokongan kewangan dan sokongan moral khususnya penajaan pada sesi ini dan akan datang." katanya.

Pada sidang media Kongres Luar Biasa (EGM) KFA, Sanusi juga memaklumkan KFA sedia berunding dengan semua pihak yang sudi sudi memberi kerjasama dari segi penajaan demi mengukuhkan lagi persatuan berkenaan.

"Apa yang boleh kita tawarkan, apa saja kemudahan yang kita ada dan kehendak yang boleh kita pertimbangkan, akan kita pertimbangkan dalam memberi ruang kepada penaja untuk terbabit dalam penajaan kepada pasukan Kedah.

"Terima kasih diatas sokongan penajaan selama ini dan mohon kerjasama semua pihak kekal bersemangat untuk membawa sukan bola sepak Kedah ke mercu kejayaan" katanya.

Sementara itu berkaitan lantikan Setiausaha Kehormat yang belum diumumkan, Sanusi berkata beliau sedang mempertimbangkan seorang calon bersesuaian termasuk dua ahli eksekutif berdasarkan ketetapan mengikut statut KFA.

"Saya ada memikirkan nama beberapa calon dan saya akan runding dengan beberapa pihak kerana diberi kuasa melantik seorang Setiausaha Kehormat dan dua lagi eksekutif mengikut statut KFA dan perkara ini akan saya umumkan sedikit masa lagi" katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 8:09pm
d