arena

Wolves kembali bernafsu ke Liga Juara-Juara

Oleh AFP

WOLVES bangkit dari dua kekalahan berturut-turut untuk melonjak ke kedudukan enam terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Everton.

Sepakan penalti Raul Jimenez, tandukan Leander Dendoncker dan rembatan jarak dekat Diogo Jota membolehkan Wolves berjaya meraih tiga mata di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan Nuno Espirito kembali memintas Sheffield United untuk berada di kedudukan keenam dan empat mata di belakang pasukan tangga keempat Leicester.

Berada di tangga kelima juga mampu untuk membolehkan mana-mana pasukan layak ke Liga Juara-Juara musim depan seandainya Manchester City gagal dalam rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Jika Wolves berjaya mencatat dua kemenangan ke atas Burnley dan Crystal Palace, mereka mampu untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara dari Chelsea apabila mereka akan berkunjung ke Stamford Bridge pada perlawanan terakhir EPL musim ini.

Dalam aksi sebentar tadi Wolves dihadiahkan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas Lucas Digne mengasari Daniel Podence sebelum Jimenez tenang menumpaskan Jordan Pickford untuk jaringan ke-25 musim ini.

Dendoncker menggandakan jaringan tuan rumah pada awal separuh masa kedua berpunca dari sepakan percuma lencong Pedro Neto.

Gol ketiga Wolves hadir melalui rembatan Jota selepas tenang mengawal hantaran jauh Ruben Neves.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 9:40pm
d