arena

Spurs atasi Arsenal, Bournemouth lakar kejutan

Oleh AFP

TOBY Alderweireld meledak gol kemenangan lewat permainan untuk membolehkan Tottenham melakar kemenangan 2-1 ke atas Arsenal sekali gus mengatasi seteru setempat mereka itu di kedudukan Liga Perdana manakala Bournemouth melakukan kejutan menewaskan Leicester 4-1.

Pengurus Tottenham, Jose Mourinho berdepan kritikan apabila skuad bimbingannya itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas hanya melakar satu kemenangan daripada tiga perlawanan.

Namun gol lewat permainan Alderweireld sembilan minit sebelum tamat perlawanan menyaksikan Spurs kembali di landasan tepat untuk meraih tiket ke Liga Europa musim depan.

Tottenham di kedudukan kelapan dengan kelebihan dua mata mengatasi Arsenal di tempat kesembilan.

"Kami gembira kerana berjaya menggembirakan penyokong. Kami masih berada di kedudukan merebut tempat ke Liga Europa musim depan.

"Sejujurnya Mikel (Arteta) berjaya menerapkan taktikal yang baik, konsisten dan menunjukkan peningkatan. Kami berasakan bahawa kami perlu mengikut jejak mereka dan kami berjaya melakukannya dengan baik," katanya.

Pada pertembungan kali pertama kelab Utara London di Stadium Tottenham Hotspur itu, Alexandre Lacazette meletakkan Arsenal di depan minit ke-16 menerusi rembatan jarak jauh.

Gol itu hanya dapat bertahan selama tiga minit selepas Son Heung-min merampas bola hantaran lemah Sead Kolasinac.

Pada minit ke-82, Alderweireld menanduk masuk bola menerusi sepakan penjuru Heung-min.

Sementara itu di Dean Court, Leicester di depan minit ke-23 menerusi gol sumbangan Jamie Vardy sekali gus gol peribadi ke-23 dan menghampiri anugerah Kasut Emas.

Namun Bournemouth menyamakan kedudukan selepas Junior Stanislas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-66 dan seminit kemudian giliran Dominic Solanke menambah gol kedua.

Sejurus selepas gol itu, pertahanan Leicester, Caglar Soyuncu dibuang padang kerana mengasari Callum Wilson.

Bournemouth terus bernasib baik apabila Jonny Evans menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-83 sebelum Solanke menambah gol keempat minit ke-87.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 7:34am
d