arena

Leclerc mohon maaf kepada Vettel

Oleh AFP

CHARLES Leclerc mengakui bersikap mementingkan diri sendiri ketika memohon maaf kepada rakan sepasukan di Ferrari, Sebastian Vettel berikutan insiden kemalangan di pusingan pertama yang menyaksikan kedua-dua pemandu itu gagal meneruskan perlumbaan di Grand Prix Styrian.

Leclerc cuba memotong juara dunia empat kali itu di selekoh ketiga tetapi melanggar Vettel yang kemudian mengalami kerosakan pada jenteranya.

Kereta keselamatan memasuki litar ketika dua pemandu Ferrari itu kembali ke hentian pit untuk memperbaiki kereta masing-masing, namun kemudian kedua-duanya terpaksa bersara.

"Saya meminta maaf kepada Vettel. Apa juga alasan adalah tidak cukup buat masa ini.

"Saya kecewa dengan diri sendiri. Saya melakukan perkara yang amat teruk dan mengecewakan pasukan.

"Ia adalah waktu sukar untuk pasukan. Kami tidak sepatutnya berdepan situasi ini tetapi saya meletakkan semua harapan pasukan di tong sampah. Sekali lagi saya memohon maaf.

"Saya berharap dapat belajar daripada kesilapan ini dan kami akan kembali kompetitif pada perlumbaan seterusnya," kata Leclerc.

Vettel yang berada pada musim terakhir bersama Ferrari pula berkata, dia terkejut dengan tindakan Leclerc.

"Saya sedang bersaing dengan dua jentera lain dan ketika itu sudah ada tiga kereta bersama menuju ke selekoh ketiga.

"Tidak ada ruang lagi dan saya tidak boleh berbuat apa-apa lagi," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 9:55am
d