arena

Budak ditangkap bersikap rasis kepada Zaha

Oleh AFP

POLIS menahan kanak-kanak berusia 12 tahun selepas penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha menerima ancaman bersifat perkauman dalam beberapa siri mesej di media sosial sebelum perlawanan bertemu Aston Villa semalam.

Zaha memuat naik tiga tangkap layar akaun Twitter miliknya yang mengandungi ancaman perkauman daripada akaun Instagram milik peminat Villa.

Pihak polis berkata, selepas Villa mencatatkan kemenangan 2-0, mereka menangkap seorang kanak-kanak dari Solihull.

"Kami sedia maklum mengenai beberapa siri mesej rasis yang dihantar kepada seorang pemain bola sepak dan selepas melakukan siasatan, kami menahan seorang kanak-kanak.

"Kanak-kanak berusia 12 tahun dari Solihull sudah ditahan. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama. Tiada tolak ansur untuk sifat rasis," kata Polis West Midlands di akaun Twitter mereka.

Villa mengutuk ancaman itu dengan berkata: "Kami berasa kesal dengan mesej rasis yang dihantar kepada @wilfriedzaha.

"Kami mengutuk segala tindakan rasis dan bersama-sama Crystal Palace.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat perkara ini dan apabila individu berkenaan dikenal pasti, kami akan mengeluarkan arahan larangan seumur hidup kepadanya."

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 10:40am
d