arena

Dibuang Chelsea, Salah menyinar di Liverpool

Oleh Agensi

KETIKA Liverpool membeli Mohamed Salah dengan nilai £36.9 juta (RM198.9 juta) pada Jun 2017, ramai yang meragui kemampuan penyerang dari Mesir itu.

Salah menghabiskan masa selama dua setengah musim di Serie A dalam usaha untuk menyinar semula selepas melalui detik hitam di Chelsea yang menyaksikannya dipinjamkan sebanyak dua kali.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya melakukan 13 penampilan sepanjang tiga musim di Stamford Bridge dengan terakhir menamatkan karier malap di Liga Perdana apabila menyertai kelab Serie A, Roma secara kekal.

Selepas tiga tahun, pembelian Salah yang dilihat sebagai satu pertaruhan besar, akhirnya membuahkan hasil dan membantu Reds mencapai era paling gemilang.

Sejak Jurgen Klopp tiba di Anfield pada Oktober 2015 untuk membimbing Reds, kelab jelas mahukan peningkatan prestasi daripada pengendali Jerman itu.

Bagaimanapun jelas pembelian beberapa pemain termasuk Salah dan Sadio Mane adalah pembelian yang amat berbaloi dan menjadi kunci kepada kejayaan Liverpool ketika ini.

Salah tidak dilihat menjadi wira secara berseorangan, sebaliknya dia membantu rakan sepasukan dan memberi inspirasi besar kepada kelab secara keseluruhan.

Bintang Mesir itu juga memegang rekod selaku pemain mempunyai peratusan kemenangan paling tinggi berbanding barisan pemain lain selepas beraksi lebih 100 perlawanan.

Pembelian Salah pada awalnya mungkin satu perjudian besar, namun dia membuktikan segala tanggapan negatif ke atasnya adalah salah, sebaliknya kini boleh dilabel sebagai pembelian paling berbaloi sepanjang sejarah Liga Perdana Inggeris.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 2:06pm
d