arena

Radhi azam teruskan kegemilangan Kedah

Oleh Izzali Ismail

LEGENDA bola sepak Kedah, Radhi Mat Din berazam meneruskan kegemilangan Lang Merah selepas dipilih menduduki jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada Kongres Luar Biasa (EGM) semalam.

Bekas kapten Kedah berasal dari Pokok Sena itu menganggap tugas yang akan dipikulnya itu sebagai satu amanah untuk meneruskan legasi kejayaan yang dicapai Kedah sebelum ini.

"Saya bersyukur kepada Allah dan cukup teruja sebab saya rasa sudah lama tinggalkan bidang bola sepak dan bila dipilih kembali bersama KFA, ia lebih kepada pentadbiran serta pengurusan dan ini perkara yang baharu pada saya.

"Namun saya berharap naib presiden yang lain dan ahli eksekutif dapat memberi sokongan kerana sebelum ini saya tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan. Pengalaman saya adalah dibidang kejurulatihan dan juga sebagai pemain.

"Saya yakin dengan komitmen yang ditunjukkan KFA serta pasukan dan insya-Allah dengan pelantikan presiden baharu, saya rasa beliau (presiden) mampu beri komitmen yang tinggi," katanya.

Mengenai tugas berkaitan Lang Merah, Radhi mengakui belum mendapat sebarang arahan daripada presiden yang baharu dilantik.

"Saya bersedia untuk menggalas tugas yang akan diamanahkan kepada saya sebaik mendapat arahan," katanya.

Mengulas mengenai corak kerja, Radhi berkata beliau berharap semua naib presiden dan ahli eksekutif perlu mendapat maklumat yang jelas mengenai perkembangan semasa dan perancangan yang akan dilakukan oleh pengurusan KFA.

"Kepada penyokong Kedah, teruskan memberi sokongan demi kejayaan pasukan yang kita sayangi ini. Marilah kita sama-sama membantu untuk pembangunan dan kejayaan pasukan Kedah," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 3:06pm
d