arena

Lovren bincang nasib di Liverpool

Oleh Agensi

LIVERPOOL merancang melanjutkan kontrak Dejan Lovren yang menyaksikan pemain pertahanan itu kekal di Anfield sehingga musim panas 2022.

Lovren memiliki baki satu tahun kontrak menerusi perjanjian terkini tetapi Liverpool dikatakan akan membuat pilihan untuk melanjutkan kontrak pemain itu kepada semusim lagi jika pemain itu kekal di kelab berkenaan sehingga penghujung jendela perpindahan pemain musim panas ini.

Laporan mendakwa Zenit St Petersburg berminat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Croatia itu tetapi belum ada perbincangan dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Lovren melakukan 185 penampilan buat Liverpool sejak menyertai dari Southampton pada 2014. Dia juga memenangi mahkota Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun mendapati peluang beraksi dalam kesebelasan utama agak sukar, ketika Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip menjadi pilihan utama di pertahanan tengah.

Awal musim ini, Lovren mengakui dia agak kecewa dengan peluang yang diberikan kepadanya untuk beraksi dan percaya dia mampu meneruskan karier profesionalnya untuk jangka masa lima tahun lagi.

"Saya sangat penyabar. Saya berkerja keras menjalani latihan dan kadang kala amat mengecewakan jika anda tidak beraksi," katanya.

"Anda bersaingan dengan diri sendiri dalam pemikiran anda, mempersoalkan 'Kenapa tidak?' Tetapi anda menerimanya, anda meneruskan kehidupan dan daripada pandangan peribadi saya, saya mahu yang lebih baik setiap hari pada sesi latihan.

"Harinya akan tiba apabila saya memperoleh peluang itu jadi saya gembira kerana tidak mengalami kecederaan - kerana ia sangat penting - dan saya juga gembira kerana kami semua berkumpul bersama dan mempunyai skuad lengkap ketika ini.

"Sudah tentu saya mahu bersama pasukan yang menang banyak trofi. Saya masih mampu bersaing beberapa tahun lagi terutama dalam bola sepak profesional."

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 10:52am
d