arena

Luqman ke Belgium bulan depan

Oleh Firdaus Hashim

STATUS penghijrahan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kini di peringkat akhir dengan hanya tinggal satu lagi dokumen sedang diproses oleh kerajaan Malaysia.

Menurut wakil kelab KV Kortrijk yang berada di ibu negara, proses dokumentasi Luqman itu bakal diselesaikan dalam masa terdekat dan dia dijangka berada di Belgium selewat-lewatnya pada awal Ogos ini.

Katanya, segala prosedur itu bagi memenuhi syarat dan prosedur ditetapkan pihak kerajaan terutama berkaitan kebenaran keluar susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

"Sekarang ini tengah tunggu kelulusan satu dokumen dari kerajaan Malaysia. Makan masa sikit. Lepas itu kita akan mohon visa dan kemudian baru boleh terbang ke Belgium. Semuanya dalam proses terakhir dan dijangka seawal Ogos Luqman akan ada di sana," katanya yang enggan mendedahkan tentang dokumen berkenaan.

Pemain berusia 18 tahun itu yang sepatutnya berhijrah ke Eropah pada awal tahun ini terpaksa menangguhkannya selepas penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan seluruh penerbangan antarabangsa dihentikan buat sementara waktu.

Namun, kini Luqman boleh memohon kebenaran selepas kerajaan membenarkan pergerakan rakyat Malaysia untuk ke luar negara.

Malah, dalam pengumuman rasmi pada 9 Jun lalu, kerajaan Malaysia memberi kebenaran ke luar negara bagi kes khas sahaja dan ia termasuk kes Luqman di mana dia perlu mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen.

Sebelum ini, ayam tambatan skuad B-19 kebangsaan yang membawa pasukan layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC di Uzbekistan Oktober depan, ditawarkan kontrak selama lima musim bersama KV Kortrijk.

Difahamkan, dia turut bakal menerima pelbagai faedah lumayan termasuk menerima gaji RM15,000 sebulan dan sebuah rumah sepanjang bersama kelab di divisyen satu Liga Jupiler itu.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 6:01pm
d