arena

Vettel sertai F1 Aston Martin?

Oleh Agensi

SEBASTIAN Vettel dikatakan mengadakan perbincangan mengenai perjanjian untuk menyertai pasukan Formula Satu (F1) Aston Martin pada 2021.

Juara dunia F1 empat kali dipercayai ditawarkan kontrak oleh pemilik pasukan itu, Lawrence Stroll yang dalam usaha mengukuhkan pasukan perlumbaan mereka musim depan.

Akhbar Jerman, Bild melaporkan perjanjian membabitkan Vettel berkenaan dijangka dipersetujui tidak lama lagi.

Pasukan yang berpangkalan di Silverstone sudah menandatangani kontrak beberapa tahun bersama Sergio Perez, yang turut membawa masuk penajaan, ketika kedudukan anak lelaki Lawrence Stroll, Lance masih selamat dalam jangka panjang.

Sejak Vettel berada di pasaran selepas diketepikan Ferrari pada penghujung musim ini, Prinsipal pasukan Racing Point, Otmar Szafnauer menafikan pasukan berkenaan akan memberi tempat kepadanya.

Apabila ditanya Motorsport.com di Austria mengenai situasi kontrak, Szafnauer memberitahu : "Ia begitu heboh apabila semua orang memikirkan juara dunia empat kali harus menyertai pasukan kami, tetapi mungkin kerana kereta berkenaan lebih pantas ketika ini.

"Anda sememangnya betul, kami mempunyai kontrak jangka panjang bersama pemandu kami, jadi adalah logik bahawa kami tidak mempunyai ruang lagi."

Bagaimanapun, sumber memberitahu bahawa hubungan Perez mungkin mempunyai klausa penyelesaian yang membenarkan pasukan itu melakukan perubahan awal.

Menariknya, bos Red Bull, Christian Horner memberi bayangan kemungkinan itu ada apabila di tanya mengenai masa depan Vettel.

"Saya fikir dia mempunyai beberapa pilihan, saya jangkakan sama ada Racing Point, atau berehat setahun dan pada masa sama melihat potensi pada tahun berikutnya," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 1:59pm
d