arena

Rashford setaraf Ferguson terima ijazah kehormat

Oleh AFP

MARCUS Rashford muncul individu termuda bakal menerima anugerah ijazah kehormat dari Universiti Manchester di atas usahanya berkempen menentang kemiskinan di kalangan kanak-kanak dan pencapaian di dalam bidang sukan.

Bintang berusia 22 tahun yang beraksi bersama Manchester United dan England itu akan mengikut jejak langkah legenda United, Alex Ferguson dan Bobby Charlton yang turut mendapat pengiktirafan tertinggi daripada universiti berkenaan.

Bulan lalu, Rashford memaksa pihak kerajaan membuat pusingan U selepas dia menulis surat terbuka kepada ahli parlimen meminta menarik balik keputusan untuk tidak memberikan baucar makan sekolah percuma kepada kanak-kanak terbabit di luar waktu sekolah.

Penyerang sensasi itu berkata, keluarganya bergantung kepada makanan percuma di sekolah ketika dia sedang membesar.

Ketika pandemik Covid-19, Rashford turut bergabung dengan badan kebajikan FareShare dalam membantu mengumpul dana untuk menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan.

"Ia hari yang membanggakan buat saya dan keluarga. Apabila anda melihat nama-nama besar yang pernah menerima ijazah kehormat ini, saya berasa amat rendah hati.

"Perjalanan kami masih jauh dalam usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan kanak-kanak di negara ini, tetapi mendapat pengiktirafan daripada bandar anda bermakna kita menuju ke arah yang betul dan ia amat bermakna," kata Rashford

Disiarkan pada: July 15, 2020 @ 11:01pm
d