arena

Pengalaman di AS sandaran Wan Kuzri

Oleh Syazwan Msar

BERWAJAH seperti warga tempatan namun kekuatan dan pengalaman umpama awang import menjadi kelebihan kepada pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Kamal untuk membantu skuad Bawah -19 (B-19) mencipta kejayaan pada Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Kali pertama menyertai latihan pusat hari ini, Kuzri jelas tampil lebih bersemangat dan mempunyai cita-cita besar iaitu mahu menempatkan diri dalam senarai pemain ke Uzbekistan sekali gus boleh menggunakan pengalaman serta kelebihan yang dimiliki untuk membantu pasukan.

Adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal itu berkata, perkara utama sekarang ini adalah untuk menambat hati pengendali B-19 Brad Maloney selain cuba biasakan diri dengan corak latihan bersama pemain lain.

Kuzri berkata, dipanggil seterusnya berkesempatan mewakili Malaysia adalah satu kebanggaan kepadanya lebih-lebih lagi dapat beraksi bersama beberapa pemain berbakat lain dalam pasukan.

"Latihan hari ini sudah tentu mahu membuktikan kemampuan kepada barisan jurulatih dan cuba memahami serta biasakan diri bersama rakan yang lain.

"Bola sepak Malaysia dan Amerika Syarikat tidak banyak beza cuma mereka memiliki kelebihan fizikal sekali gus perlu lebih bersaing ketika dalam perlawanan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan Skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM), hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu antara 33 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan yang bermula minggu lalu.

Sementara itu, Kuzri berkata, abangnya banyak memberikan kata-kata nasihat sebelum dia berangkat menjalani latihan bersama skuad B-19.

"Dia (Kuzain) berpesan inilah masanya untuk menimba ilmu dan pengalaman di peringkat lebih tinggi terutama dapat mewakili skuad kebangsaan," katanya.

Ditanya kelebihan yang dimilikinya berbanding pemain lain, Kuzain memberitahu dia dikenali sebagai pemain yang kreatif dan sentiasa berusaha mencetak gol untuk pasukan.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 8:20pm
d