arena

Lega Sobey kembali

Oleh Malik Muhamad

LEGA dan gembira, itu luahan ketua jurulatih pasukan sepaktakraw Terengganu Turtles, Mohd Futra Abdul Ghani selepas bekas tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Razak kembali memperkuatkan skuad bimbingannya dalam saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim ini.

Sebelum ini, tekong emas kelahiran Terengganu itu menerima tawaran daripada pasukan Kelantan Warriors dan pada masa sama pemain itu juga sudah didaftarkan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) untuk beraksi dalam saingan liga berprestij itu yang dijadualkan bermula 2 September ini.

Berikutan itu berlaku salah faham antara kedua-dua pasukan, namun kemelut itu berjaya diselesaikan selepas campur tangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

"Selepas saya mendapat berita daripada exco (Wan Sukairi) yang menyatakan pelepasan tidak diberikan kepada Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey, sebagai jurulatih sudah tentu saya lega dan menerima dengan hati yang gembira.

"Malah penyelesaian antara dua negeri bersaudara itu serta Sobey sendiri yang diselesaikan secara profesional berkenaan dengan kemelut pemain itu adalah terbaik tanpa memakan masa yang lama.

"Kehadiran Sobey dalam pasukan sudah tentu akan memberikan kelebihan dan impak yang besar kepada pasukan Terengganu Turtles untuk meneruskan aksi dalam STL musim ini dia mempunyai pengalaman luas terutama ketika membantu pasukan kebangsaan mengutip pingat emas dalam Sukan Asia," katanya.

Mengenai latihan, bekas perejam emas kebangsaan itu masih lagi menunggu `lampu hijau' daripada persatuan tarikh sebenar skuad bimbingannya akan mula menjalani latihan.

"Insya-Allah pertengahan bulan ini akan dijadual latihan pasukan, namun begitu saya masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak pengurusan dan persatuan mengenai jadual latihan yang sebenarnya dan mungkin ada pertemuan antara pemain dengan persatuan selepas ini," katanya.

Sebelum ini Wan Sukairi enggan melepaskan Sobey beraksi bersama skuad Kelantan Warriors selain pemain itu lebih berminat untuk menyarung jersi negeri kelahirannya.

Pada pentas Sukan Asia 2018 di Jakarta Palembang, skuad negara yang turut diperkuatkan Muhammad Zulkifli, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) berjaya menamatkan penantian 24 tahun Malaysia selepas meraih emas dalam sukan tradisi itu selepas kali terakhir melakukannya di Sukan Asia 1994 Hiroshima, Jepun.

Disiarkan pada: July 16, 2020 @ 8:30pm
d