arena

Cuba tambat hati Maloney

Oleh Syazwan Msar

BERWAJAH seperti warga tempatan, namun kekuatan dan pengalaman umpama awang import, sekali gus menjadi kelebihan kepada pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal untuk membantu skuad bawah 19 (B-19) negara mencipta kejayaan pada Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

Kali pertama menyertai latihan pusat semalam, Kuzri jelas tampil lebih bersemangat dan mempunyai cita-cita besar iaitu mahu menempatkan diri dalam senarai pemain ke Uzbekistan, sekali gus boleh menggunakan pengalaman serta kelebihan yang dimiliki untuk membantu pasukan.

Adik kepada Wan Kuzain itu berkata, perkara utama sekarang ini adalah untuk menambat hati pengendali B-19, Brad Maloney selain cuba biasakan diri dengan corak latihan bersama pemain lain.

Katanya, dipanggil seterusnya berkesempatan mewakili Malaysia adalah satu kebanggaan kepadanya lebih-lebih lagi dapat beraksi bersama beberapa pemain berbakat lain dalam pasukan.

"Latihan hari ini sudah tentu mahu membuktikan kemampuan kepada barisan jurulatih dan cuba memahami serta biasakan diri bersama rakan yang lain.

"Bola sepak Malaysia dan Amerika Syarikat tidak banyak beza cuma mereka memiliki kelebihan fizikal, sekali gus perlu lebih bersaing ketika dalam perlawanan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan Skuad B-19 di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.

Pemain berusia 18 tahun itu antara 33 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan yang bermula minggu lalu.

Kuzri berkata, abangnya banyak memberikan kata nasihat sebelum dia berangkat menjalani latihan bersama skuad B-19.

"Dia (Kuzain) berpesan ini masanya untuk menimba ilmu dan pengalaman di peringkat lebih tinggi terutama dapat mewakili skuad kebangsaan," katanya.

Selain itu, ketika ditanya kelebihan yang dimilikinya berbanding pemain lain, Kuzain memberitahu dia dikenali sebagai pemain kreatif dan sentiasa berusaha mencetak gol untuk pasukan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mengakui beliau turut memainkan peranan mempengaruhi adiknya, Wan Kuzri supaya 'terbang' ke Malaysia bagi mengikuti sesi latihan bersama skuad bawah-19 (B-19) negara.

Walaupun peranan dimainkan itu tidak besar, beliau gembira adiknya 'rela hati' mahu menabur bakti bersama skuad B-19 negara dengan tekad mahu mencipta kejayaan di Uzbekistan nanti.

Beliau berkata, dorongan utama Kuzri mahu bermain bersama skuad B-19 adalah kehendak sendiri dengan melihat ia platform terbaik untuk meningkatkan lagi kebolehan diri di pentas antarabangsa.

"Ada sedikit (peranan) ketika perbualan bersama dengan ayah, namun lebih kepada dorongan dia sendiri yang terpanggil untuk bermain dengan negara," katanya ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.

Wan Ahmad Fayshal yang ditemani Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengurus B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar meluangkan masa hampir setengah jam meninjau sesi latihan skuad B-19.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 8:56am
d