arena

Klasik Marathon LPGA diadakan secara tertutup

Oleh AFP

PENGANJUR Klasik Marathon LPGA menegaskan kejohanan berkenaan akan dilangsungkan bulan depan walaupun terpaksa diadakan tanpa kehadiran penonton berikutan penularan Covid-19.

Sebelum ini pegawai rasmi kejohanan berkata, kejohanan berkenaan tidak boleh diadakan tanpa kehadiran penonton.

Bagaimanapun, LPGA dan penganjur berkata, kejohanan berkenaan sekarang ini akan berlangsung pada 6 hingga 9 Ogos di Highland Meadows Golf Club di Sylvania, Ohio tanpa kehadiran penonton di lapangan.

Kejohanan itu dijadualkan akan menjadi saingan kedua LPGA sejak ia tertangguh Februari lalu selepas Kejohanan Drive On LPGA yang bakal berlangsung di Toledo bermula 31 Julai hingga 2 Ogos.

Penganjur menetapkan lebih awal bahawa aksi di Toledo tidak akan membenarkan kehadiran penonton.

Ini bukan kali pertama saingan golf di Ohio dilangsungkan tanpa penonton.

Jelajah PGA sebelum ini merancang untuk menghadkan jumlah penonton bagi saingan Memorial di Columbus namun keadaan terkini Covid-19 menyebabkan perancangan berkenaan terpaksa dibatalkan.

"Penganjur Klasik Marathon dan LPGA sudah membuat keputusan yang tepat dengan tidak membenarkan penonton hadir ke lapangan tahun ini.

"Saya sedar ia adalah keputusan yang sukar namun mereka sudah membuat tindakan tepat dengan meletakkan kepentingan kesihatan dan keselamatan pemain serta penonton perkara paling utama," kata Gabenor Ohio, Mike DeWine.

Pemain Korea Selatan yang menduduki ranking keenam dunia, Kim Sei Young adalah penyandang juara Klasik Marathon.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 12:03pm
    d