arena

City rendah diri, Arsenal sedia bersaing

Oleh AFP

PEMANDANGAN Stadium Wembley yang kosong bakal menjadi saksi dua aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu ini dengan penyandang juara, Manchester City akan berdepan Arsenal, manakala Chelsea dan Manchester United yang sedang memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan bakal berdepan sesama sendiri.

City dan Arsenal akan memulakan pertarungan terlebih dulu pada awal pagi Ahad, dengan The Gunners masih segar di atas kemenangan 2-1 ketika berdepan juara baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool semalam.

Bagaimanapun, Pep Guardiola sudah tentu akan bersandarkan kepada tujuh kemenangan berturut-turut ke atas Gunners dengan rekod jaringan kesemua perlawanan berkenaan 20-2.

"Saya tahu bagi kelab elit, berpengaruh seperti Liverpool, Man United dan terutama sekali Arsenal, mereka berasa kurang selesa apabila kami berada di sini. Bagaimanapun, mereka harus faham kami berhak berada di sini," kata Guardiola.

Sementara itu, Mikel Arteta yang memainkan peranan penting ketika City merangkul kejuaraan liga dua kali berturut-turut sebelum ini apabila menjadi pembantu kepada Guardiola, mengakui ia satu tugas sukar untuk berdepan bekas bosnya.

"Jurang antara kami dengan mereka memang sangat besar. Jurang yang datang dari pelbagai sudut memang kami tidak boleh baiki dalam tempoh dua bulan.

"Bagaimanapun, jurang dari segi tanggungjawab, tenaga, komitmen dan persaingan antara dua pasukan sekarang ini seimbang serta tidak seperti sebelum ini," kata Arteta.

Guardiola dilihat lebih beruntung kerana dapat merehatkan pemain penting seperti Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Riyad Mahrez dan Aymeric Laporte daripada berada dalam kesebelasan utama.

Aksi kedua pada awal pagi Isnin, membuka peluang buat United untuk mengekalkan rekod cemerlang memenangi kesemua perlawanan ketika berdepan Chelsea seperti mana yang dilakukan dalam tiga aksi terakhir sebelum ini.

United sekarang ini tidak pernah tewas dalam 19 perlawanan membabitkan semua kejohanan dan berada dalam keyakinan tinggi untuk mara ke final selepas tiga tonggak serangannya, Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood sedang di puncak prestasi.

Chelsea pula sedang memperkukuhkan barisan serangannya dengan mendapatkan pemain seperti

Timo Werner dan Hakim Ziyech untuk saingan musim depan.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 12:56pm
d