arena

Skuad hoki Sukma Terengganu dapat sentuhan pemain THT

Oleh Malik Muhamad

SKUAD hoki lelaki dan wanita Terengganu yang bakal membawa cabaran negeri dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor Mac tahun depan mendapat sentuhan lima pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi memperkasakan lagi corak permainan mereka.

Lima pemain berkenaan termasuk dua bekas pemain kebangsaan iaitu penyerang, Faizal Saari dan penjaga gol, Hafizuddin Othman selain tiga pemain muda, Mohamad Shazwi Rani ( pertahanan), Muhammad Fikri Ardillah Saifullah (tengah) dan Wan Mohd Azlan Wan Rohaimi (penyerang).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemilihan lima pemain berkenaan bertujuan untuk membimbing pasukan hoki lelaki dan wanita dalam misi untuk memantapkan lagi prestasi mereka.

"Sasaran kita dalam Sukma yang dijadualkan bakal berlangsung pada Mac tahun depan sekurang-kurangnya satu kilauan pingat emas.

"Latihan berkenaan akan bermula sekarang sehingga Disember tahun ini iaitu selama enam bulan mereka akan bersama dengan pemain kedua-dua pasukan.

"Apa yang kita harapkan kehadiran pemain THT ini bakal melonjakkan lagi pencapaian dan prestasi pasukan selain turut meletak harapan yang tinggi pemain muda dapat mengambil peluang menuntut ilmu sebaik mungkin bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum ke gelanggang dan seterusnya mencipta sejarah buat diri, keluarga, negeri dan negara," kata Wan Sukairi.

Beliau turut menyatakan Terengganu juga bakal menubuhkan Akademi Hoki Terengganu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin yang akan bermula pada tahun depan.

Wan Sukairi berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pemerkasaan Kecemerlangan Pasukan Hoki Terengganu di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) yang turut dihadiri Bapa Angkat pasukan hoki Sukma Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan pemangku presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Mohd Fikri Harun.

Pada majlis itu skuad hoki juga turut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 daripada Saiful Azmi sebagai persiapan menjelang temasya Sukma tahun depan.

Sementara itu Saiful Azmi berkeyakinan kehadiran lima bintang THT itu mampu memberi impak positif dan menyuntik semangat pemain dalam persiapan menghadapi kejohanan Sukma itu.

"Pengalaman yang ada pada pemain THT diharapkan mampu menjadi pemangkin buat pemain untuk menjadi pasukan yang benar-benar mantap dan seterusnya digeruni lawan," kata Saiful Azmi.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 1:03pm
d