arena

Teruja bertemu presiden baharu

Oleh Izzali Ismail

SKUAD Lang Merah kini teruja bertemu Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md. Nor dan Naib Presiden Radhi Mat Din yang baharu dilantik pada Kongres Luar Biasa (EGM) KFA, minggu lalu.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, selepas selesai perlantikan kedua pemimpin tertinggi itu, skuadnya bersyukur dan kini lebih bersemangat dalam menjalani latihan Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diadakan di Stadium Darul Aman.

"Semua pemain juga kini lebih bersemangat dan bermotivasi dalam menjalani sesi latihan yang diadakan selepas perlantikan Presiden dan Naib Presiden baharu yang diumumkan pada Kongres Luar Biasa KFA.

"Semangat kami kini terus meningkat, namun kami masih menanti untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi iaitu Presiden dan Naib Presiden bagi mendapatkan kata-kata perangsang dan semangat dalam kami dalam persiapan dan latihan Fasa 2 yang sedang kami jalani.

"Pemain turut menanyakan saya mengenai perkembangan terbaru berkaitan pasukan selepas perubahan kepimpinan yang mana mereka juga sedang mengikuti rapat perkembangan yang mungkin akan diumumkan pengurusan nanti," katanya.

Aidil juga berkata selain teruja menanti perkembangan baharu apabila bertemu pemimpin KFA itu, pemain tetap meneruskan usaha dan tekad menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang menjalani latihan.

Menyentuh mengenai perkembangan latihan pemainnya dalam menjalani latihan Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Aidil turut berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran proses latihan yang dijalani semua pemainnya.

"Latihan Fasa 2 yang baru dibenarkan bermula iaitu secara kontak sejak semalam sekali gus memudahkan perancangan Lang Merah untuk menghadapi baki saingan Liga Super yang akan bermula pada Ogos ini.

"Pemain kini bermotivasi kerana penantian mereka untuk menjalani latihan penuh selama ini dapat diteruskan kembali dan ini memberi kelancaran dalam program latihan yang sedang disusun untuk menghadapi sambungan Liga Super nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2020 @ 10:40pm
d