arena

Dua positif Covid-19 di GP Hungary

Oleh AFP

FORMULA Satu (F1) melaporkan semalam buat kali pertama mengesan ujian Covid-19 positif di Grand Prix (GP) Hungary, perlumbaan ketiga selepas saingan disambung semula selepas ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan bersama, badan induk sukan berkenaan Persekutuan Pemotoran Antarabangsa (FIA) dan pemegang hak komersial F1 berkata, dua individu daripada 5,000 ujian dikesan positif.

"FIA dan F1 mengesahkan antara 10 hingga 16 Julai, 4,997 ujian Covid-19 dibuat membabitkan pelumba, ahli pasukan dan orang perseorangan.

"Daripada jumlah ini, dua individu diuji positif. Mereka tidak berada di Austria, mereka yang dijangkiti juga akan dikeluarkan dari operasi dan diasingkan.

"Kami sudah mengesan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan segera diasingkan.

"FIA dan F1 menyalurkan maklumat ini untuk tujuan integriti dan membuktikan ketelusan kami.

"Tidak ada perincian khusus mengenai pasukan atau individu yang akan diberikan oleh FIA atau F1, dengan hasil ujian akan diumumkan secara terbuka setiap tujuh hari," katanya.

Dipercayai kedua-dua individu yang diuji positif adalah bukan dalam kalangan anggota mana-mana pasukan.

Lebih 8,000 ujian dilakukan dalam dua perlumbaan sebelum ini dengan kesemuanya negatif.

Dua ujian positif berkenaan adalah kali pertama dicatatkan dalam sukan berkenaan sejak perlumbaan pembuka tirai GP Australia dibatalkan.

Semua yang terbabit dalam GP diuji setiap lima hari dan menjadi sebahagian daripada protokol ketat membabitkan semua pasukan dan pelumba.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 11:07am
d