arena

Rabuan Pit berehat atas faktor kesihatan [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

BIARPUN keinginan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada atlet muda masih ada namun bekas Raja Pecut Asia Datuk Rabuan Pit tidak lagi dapati melaksanakannya pada masa akan datang atas faktor kesihatan.

Beliau yang ditemui di kediamannya hari ini berkata, kali terakhir menabur bakti dalam arena olahraga ketika berkongsi ilmu bersama atlet Melaka kira-kira lima tahun lalu bagi khusus persediaan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma).

Katanya, ketika ini doktor menasihatkan beliau supaya berehat di rumah dan tidak melakukan kerja berat bagi mengelak kesihatannya terganggu.

Malah, beliau juga percaya jurulatih muda yang dilantik sedia ada mempunyai kepakaran masing-masing dalam membentuk dan melahirkan atlet lebih mantap pada masa akan datang.

"Keinginan untuk kembali menabur bakti dalam sukan olahraga memang ada namun lebih baik berehat di rumah seperti disarankan oleh doktor.

"Jika dilihat sekarang ini lebih baik serahkan kepada jurulatih muda yang sudah dilantik selain perlu yakin kepada kemampuan mereka untuk membimbing atlet negara.

"Perkara utama saya ingatkan adalah elakkan iri hati antara satu sama lain sudah pasti sukan di negara kita ini akan meningkat seterusnya boleh mencipta pelbagai kejayaan," katanya, ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Turut hadir pada lawatan terbabit, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan legenda sukan berbasikal negara Datuk Ng Joo Ngan.

Sebelum itu, legenda pelari pecut negara itu menjalani prosedur 'angiogram' di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami simptom sesak nafas dan sakit dada.

Perkembangan itu dikongsikan Yakeb menerusi laman media sosialnya selepas menziarahi Rabuan.

Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah selepas menunjukkan simptom penyakit jantung sebelum menerima rawatan susulan di PPUM.

Sebagai rekod, anak kelahiran Melaka itu menggondol pingat emas dalam acara 100 meter (m) pada temasya Sukan Asia 1982 yang berlangsung di New Delhi.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:17pm
d