arena

Melaka uji Negeri Sembilan

Oleh Nazri Abu Bakar

SKUAD Liga Super Melaka bakal mengadakan persahabatan berdepan Negeri Sembilan (NS) menjelang aksi pembukaan liga yang bersambung 26 Ogos ini.

Pengurus pasukan Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, perbincangan akhir sedang dilakukan berkaitan tarikh perlawanan di Stadium Abdul Rahman, Paroi itu.

Katanya, perlawanan berkenaan penting dalam misi membentuk pasukan sebelum saingan bermula terutama selepas latihan secara total dengan sentuhan yang sudah dibenarkan.

Beliau berkata, buat masa ini latihan agresif diterajui ketua jurulatih skuad Hang Tuah, Zainal Abidin Hassan turut menekan aspek persefahaman rangkaian ketika bertahan, mengatur gerak dan menyerang.

"Selepas lima bulan tanpa sebarang aksi, sudah tentu banyak perkara perlu diperhalusi terutama pemilihan kesebelasan pertama kelak.

"Justeru, perlawanan berdepan Negeri Sembilan selepas 2 Ogos kelak di yakini menjadi pemangkin kepada penilaian setiap pemain yang diambil kira dalam pelbagai aspek sebelum aksi sebenar," katanya.

Akram berkata, keseluruhan pemain juga sudah bersedia menampilkan aksi terbaik masing-masing sebaik liga bersambung kelak.

Sehubungan itu, perlawanan persahabatan berkenaan antara medan terpenting untuk mereka membuktikan keupayaan mereka memperaga persembahan yang diharapkan.

Baginya, dia amat menyambut baik langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuka semula saingan bermula 26 Ogos.

Semalam, MFL mengumumkan Liga M yang tertangguh sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19 akan disambung semula pada 26 Ogos ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Liga M bermula lebih awal seminggu berbanding perancangan asal MFL yang menetapkan ia disambung pada 1 September untuk saingan Liga Super dan 2 September bagi Liga Perdana.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:30pm
d