arena

Kami dah bersedia: Diallo

Oleh Malik Muhamad

"KAMI sudah bersedia mengharungi baki saingan liga," kata pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Babacar Diallo ketika ditanya mengenai saingan Liga Super yang bakal berlangsung lebih awal berbanding cadangan sebelum ini pada 1 September.

Pertahanan tengah kelahiran Dakar, Senegal berketinggian 1.93 meter itu juga bersetuju walaupun pasukannya turun lima hari lebih awal menentang pasukan PJ City di tempat lawan.

"Bagi saya aksi pada Ogos lebih baik kerana kami pun sudah lama berlatih hampir sebulan lalu dan menjelang pertemuan dengan PJ City nanti kami ada masa sehingga dua bulan.

"Sudah tentu kami sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental lagipun semua pemain kini berada pada tahap terbaik dan tidak sabar untuk turun beraksi selepas begitu lama 'berehat' bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujar pemain berusia 31 tahun itu.

Semalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19 akan disambung semula pada 26 Ogos ini tanpa kehadiran penonton.

Bagaimanapun aksi pasukan Liga Super membabitkan pertemuan PJ City menentang Terengganu dan UKM FC bertemu Kelantan dalam saingan Liga Perdana yang sebelum ini tertunda bakal diadakan pada 22 Ogos.

MFL menjelaskan keputusan itu dicapai menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah selepas menilai beberapa faktor termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding dalam memastikan kualiti liga lebih kompetitif terutama selepas sesi latihan Fasa 2 dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai lalu.

Mengulas mengenai impiannya bersama TFC, pemain beragama Islam itu yang baharu tiga kali membuat penampilan bersama pasukan itu meletakkan sasaran berada di kelompok terbaik liga.

"Selepas sebulan berlatih apatah lagi boleh mengadakan latihan secara sentuhan, pasukan kami kini semakin bagus dan apa yang saya harapkan kami mampu menghadiahkan kedudukan terbaik walaupun kini menghuni di tangga kelapan liga," kata bekas pemain kelab Kuopion Palloseura dalam Liga Finland itu.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 6:39pm
d