arena

Helmi teraju kelas CP150 Cub Prix

"PERLUMBAAN hari ini tidak semudah dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada permulaan," kata Md Helmi Azman.

Helmi pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing muncul juara perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Helmi menamatkan saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat, sekali gus meraih 20 mata kejuaraan setakat ini.

Helmi yang turut tampil hebat pada sesi kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada di hadapannya.

Menurutnya dia bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki lap keenam.

"Prestasi jentera juga memberi kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan 'setting' terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi perlumbaan hebat ini." kata Helmi yang menerima tentangan sengit dari Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy Racing.

Azroy antara pelumba yang diramal mampu menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam.

Namun, nasib tidak menyebelahi Azroy kerana dia turut terbabit dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.

Sementara itu, barisan pelumba pasukan ONEXOX menguasai saingan bagi perlumbaan akhir kelas CP125.

Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX SAG Team) mencuri tumpuan apabila muncul juara dengan catatan 11:21.868s manakala Md Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) berada di tempat kedua dengan masa 11:21.875s

Seorang lagi rakan mereka, Md Hafiza Rofa menamatkan perlumbaan lapan lap itu di tempat ketiga dengan catatan masa 11:21.913s.

Bagi kategori Wira pula, Rahimi Nabil Razu melakukan kejutan apabila menjuarai perlumbaan tujuh lap itu.

Meskipun mendapat tentangan sengit daripada pencabarnya terutama pada lap terakhir, namun ia tidak menggugat peluang pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu untuk bergelar juara apabila terlebih dahulu mencecah garisan penamat dengan catatan masa 10:16.015s.

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 9:12pm
d