arena

The Rock, Cena, Austin bintang gusti terkaya

Oleh Agensi

APA sahaja yang difikirkan mengenai gusti pasti tidak dinafikan ia antara sukan yang padat dengan aksi dan menghiburkan.

Disebabkan itu bintang gusti seperti Dwayne Johnson atau 'The Rock' dan John Cena mampu mencuri tumpuan di gelanggang.

Namun siapa sebenarnya ahli gusti yang menerima pendapatan tertinggi di dunia?

'The Rock' yang mencipta nama di pentas lakonan hollywood antara yang meraih pendapatan tertinggi iaitu lebih £200 juta (RM1.07 bilion).

Johnson mendahului senarai ahli gusti selain berada dalam senarai pelakon terkenal yang menerima pendapatan tertinggi.

Menurut Men's Health, nilainya mencecah £172 juta (RM921 juta) sementara The Express mendakwa pendapatan sebenar hampir kepada £244.1 juta (RM1.30 bilion).

Dalam arena gusti, dia pemenang mahkota kejuaraan WWF/WWE sebanyak lapan kali, juara WCW/Dunia (dua kali), juara WWF Intercontinental (dua kali) dan juara WWF Tag Team (lima kali).

Selain itu, filem yang mencatat box office seperti siri The Fast and the Furious dan Jumanji meningkatkan nilai pasaran Johnson.

Malah dia dibayar £3.5 juta (RM18 juta) untuk membintangi filem pertamanya The Scorpion King - nilai yang mencatat rekod dunia bagi pelakon yang melakukan penampilan pertama dalam filem.

Bintang gusti seperti John Cena di tempat kedua meraih pendapatan tertinggi sekitar £43 juta (RM230 juta) diikuti Steve Austin - £35.2 juta (RM188 juta), manakala Triple H, Hulk Hogan, Kurt Angle, Brock Lesnar dan Big Show, £31.3 juta (RM167 juta) antara £15.5 juta (RM83 juta).

Disiarkan pada: July 18, 2020 @ 10:21pm
d