arena

Burnley intai Liga Europa

Oleh AFP

BURNLEY menghidupkan peluang untuk layak ke Liga Europa selepas penyerang New Zealand, Chris Wood membantu mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Norwich yang beraksi dengan sembilan pemain.

Wood meledak jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama di Carrow Road selepas Emiliano Buendia dan Josip Drmic dibuang padang.

Jaringan sendiri Ben Godfrey pada lewat perlawanan mengesahkan kemenangan Burnley yang tidak pernah tumpas dalam tujuh perlawanan dan membantu mereka melonjak ke tangga kesembilan liga.

Mereka sekarang ini satu mata di belakang pasukan tempat ketujuh, Tottenham yang turut bersaing untuk mencari slot ke Liga Europa.

Bagaimanapun, mereka hanya mempunyai baki satu perlawanan, manakala Tottenham, Sheffield United dan Wolves kesemuanya memiliki tiga aksi di dalam tangan.

"Saya tidak rasa pernah menentang pasukan yang dua pemainnya diperintah keluar padang. Ia aksi yang janggal dan kami berjaya tidak bolos serta meraih kemenangan.

"Mencatatkan 15 kali tidak bolos dan kemenangan adalah sangat menggembirakan, jadi saya berpuas hati dengan apa yang diberikan pemain," kata kata Sean Dyche.

Sementara itu penjaga gol Burnley, berada pada landasan terbaik untuk memburu anugerah sarung tangan emas penjaga gol tidak banyak melepaskan gol.

Pope mendahului dengan 15 kali tidak bolos, manakala penjaga gol Manchester City, Ederson kurang satu daripada jumlah berkenaan.

Norwich pula beraksi buat kali terakhir di gelanggang sendiri sebelum kembali ke Liga Kejuaraan musim depan, dengan mencatat rekod lima kali tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL).

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 8:35am
d