arena

Kerajaan negeri rangka pelan pasca persaraan

Oleh Malik Muhamad

BEKAS atlet yang berjasa kepada negeri bakal terjaga kebajikan mereka apabila kerajaan negeri melalui jawatankuasa panel penasihat sukan sedang merangka pelan program yang sesuai kepada mereka sebelum memasuki alam persaraan.

Dengan adanya program berkenaan ianya sebagai alternatif kepada bekas atlet untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas khidmatnya tidak diperlukan lagi dalam bidang sukan.

Langkah yang dilakukan kerajaan negeri ini wajar dicontohi bukan sahaja mampu menjaga kebajikan atlet itu selepas bersara tetapi dalam masa sama meningkatkan lagi motivasi atlet muda untuk meningkatkan kualiti dalam bidang sukan yang diceburi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelan berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebajikan atlet selepas bersara.

Bagaimanapun ianya masih di peringkat awal dan mengambil sedikit masa lagi untuk disiapkan kerana perlu kepada kertas cadangan serta penelitian daripada pakar-pakar dalam jawatankuasa penasihat sukan berkenaan.

"Saya bermesyuarat dengan panel penasihat sukan negeri yang terdiri daripada pakar-pakar termasuk bekas Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong pada minggu lepas dan beberapa lagi 'otai', mereka diminta menyediakan pelan cadangan program sesuai untuk bekas atlet sebagai persediaan menempuh alam persaraan.

"InsyaAllah selepas dapat cadangan itu kita akan perhalusi dan bentangkan program itu, sama ada bekas atlet mahu terima atau tidak, itu terpulang pada diri masing-masing," katanya selepas majlis meraikan kemenangan skuad ragbi Piala Agong dan skuad ragbi 7 sepasukan kebangsaan negeri Terengganu 2019, di sini malam tadi.

Pada majlis itu Wan Sukairi menyampaikan insentif kemenangan sebanyak RM150,000 sebagai galakan untuk kedua-dua pasukan terus mencipta kejayaan gemilang pada masa depan yang diserahkan kepada Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu merangkap Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Kebangsaan, Amir Amri Mohamad.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata penyediaan pelan itu juga penting sebagai alternatif kepada bekas atlet selain bidang kejurulatihan yang ruang lingkup serta peluangnya agak terhad di negara ini.

"Kita tahu bukan semua bekas atlet akan bergiat sebagai jurulatih kerana peluangnya agak terhad bagi semua jenis sukan selain minat yang berbeza, jadi menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyediakan pelan ini dan keutamaan adalah kepada bekas atlet yang berasal dari Terengganu dan mereka yang telah berjasa mengharumkan nama negeri dan negara.

"Saya berkeyakinan dengan adanya pelan sedemikian sekurang-kurangnya kebajikan atlet bakal terjaga demi meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 12:58pm
d