arena

Skala kecil wajar

Oleh Nazri Abu Bakar

PENYOKONG bola sepak Melaka menyokong sebarang usaha membenarkan peminat menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirai saingan penghujung Ogos ini.

Bagi mereka skala kecil kehadiran penyokong ke venue saingan amat wajar buat masa ini namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Kelab Penyokong Melaka United (KPMU) Mohd Fairuz Mohd Sirat berkata, peminat jelas akur dengan sebarang kebenaran pihak berwajib berikutan apa yang lebih penting keselamatan umum perlu dititik berat sebelum individu dibenarkan kembali ke stadium.

Katanya, bagi pihak penyokong sememangnya mereka tidak sabar untuk menyemarakkan sokongan terhadap Liga M yang sudah sekian lama terhenti.

Menurutnya, kehadiran penyokong pastinya memberi impak yang besar terhadap saingan liga berbanding tanpa mereka terutama dalam meningkatkan kualiti permainan.

"Secara dasarnya penyokong memainkan peranan penting membantu kemenangan atau menyebabkan kekalahan pasukan. Ianya berikutan semangat pemain amat berbeza ketika mereka menerima sokongan dan sorakan di gelanggang sendiri atau lawan mahupun situasi stadium penuh atau stadium kosong.

"Malah pemain ke-12 berkenaan dilihat antara nadi terpenting buat kejayaan sesebuah pasukan di negara ini mahupun di pentas antarabangsa sekalipun," katanya.

Bagi ahli Kelab Demi Penyokong Melaka United, Ronny Samad pula berkata, walaupun apa keputusan sekali pun pandangan peminat perlu diambil kira dalam memeriahkan saingan Liga M sekali gus mengelak saingan hambar dan tidak menarik.

Beliau berkata, tanpa penyokong perlawanan ibarat seperti latihan biasa sekali gus merekodkan saingan yang hanya umpama sekadar melengkapkan jadual perlawanan sahaja.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 5:57pm
d