arena

Penantian berbaloi skuad ragbi Terengganu

Oleh Malik Muhamad

PENANTIAN penuh dramatik selama 37 tahun buat pasukan ragbi Terengganu untuk melakar sejarah sulung juara di pentas tertinggi Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-37 pada tahun lalu akhirnya berbaloi apabila skuad itu menerima 'durian runtuh' RM150,000 daripada kerajaan negeri semalam.

Habuan itu juga hasil kejayaan berganda selepas pasukan itu turut muncul juara Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan pada tahun yang sama.

Kapten, Mohd Syahir Asraf Rosli berkata, dia dan rakan sepasukannya puas apabila berjaya membantu skuad negeri muncul juara selepas sekian lama menanti.

Mohd Shahir yang juga bekas kapten pasukan kebangsaan juga akui komitmen daripada semua pemain selain pihak pengurusan adalah senjata utama kejayaan berganda pasukannya musim lalu.

"Perancangan selepas ini mungkin saya akan umumkan persaraan dan menumpukan bidang kejurulatihan, jika tidak ada masalah saya akan melaporkan diri di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor bulan depan," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Mohamad berkata, beliau memuji kesungguhan dan sikap tidak cepat mengalah dipamerkan pemain yang berjaya merangkul kejuaraan berganda itu.

"Insentif yang kita dapat ini akan diagihkan kepada pemain-pemain kerana ini adalah satu penghargaan daripada PRNT dan kerajaan negeri atas pengorbanan pemain yang berusaha keras mencipta sejarah bagi negeri Terengganu merangkul kejuaraan Piala Agong buat kali pertama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan kemenangan skuad ragbi Piala Agong dan skuad ragbi 7 sepasukan kebangsaan negeri Terengganu 2019, di Kuala Terengganu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Berdasarkan rekod Terengganu yang hadir selaku pasukan bukan pilihan membuat kejutan dalam kejohanan Piala Agong selepas menundukkan juara bertahan, Sabah 26-24 manakala pasukan 7 sepasukan muncul juara kategori kelompok utama atau 'Men Core' Kejohanan Siri Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019 selepas mengalahkan Kelantan 24-5 pada September tahun lalu.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 6:04pm
d