arena

Ishak kekal positif harungi liga

Oleh Malik Muhamad

"BIARPUN bakal berlatih di padang bermula esok, kami tetap positif mengharungi saingan Liga Super pada 26 Ogos ini," kata ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Beliau berkata, tempoh lebih sebulan itu sudah memadai buat pasukannya untuk melakukan persiapan dalam saingan liga utama itu.

"Selain latihan kami juga sudah merangka tiga aksi persahabatan bagi memastikan pemain benar-benar bersedia untuk memulakan semula saingan liga.

"Lagipun semua pemain sudah bersedia termasuk dua pemain import dari Turkmenistan iaitu Shohrat Soyunov dan rakan senegaranya, Serdar Geldiyev.

"Bagaimanapun penyerang import kelahiran England, Antonio Timothy German masih belum dapat bersama dengan kem pasukan esok kerana masih berada di negaranya dan saya serahkan perkara itu kepada pihak pengurusan," kata Ishak.

Berdasarkan kedudukan terkini liga, skuad The Cops yang sudah mengharungi empat perlawanan belum mengutip sebarang mata sebaliknya berhutang dua mata susulan denda yang dikenakan berikutan masalah pembayaran gaji musim lalu.

"Kami seboleh-bolehnya mahu kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan walaupun pasukan kami masih belum mengutip sebarang mata setakat ini.

"Saya meletak harapan yang tinggi pemain akan bangkit terutama liga hanya akan bersambung secara pusingan pertama sahaja sebelum saingan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Oktober," kata Ishak.

Disiarkan pada: July 19, 2020 @ 6:36pm
d